SHAH ALAM – Penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bakal mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini tidak lama lagi.
Meskipun mengambil keputusan meneruskan kerjaya sebagai penyanyi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau berkata cita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tidak pernah padam sejak lebih 10 tahun lepas.
Bidang muzik menjadi pilihan memandangkan ia seiring dengan kerjayanya sebagai penyanyi, dan beliau percaya UiTM merupakan tempat terbaik untuk menggenggam sekurang-kurangnya segulung diploma dalam bidang berkenaan.
“Siti sedang berbincang dengan pihak UiTM, dan insya-Allah sekiranya semuanya berjalan lancar, Siti akan meneruskan pengajian seperti yang dirancang,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan persembahan pada Malam Gala dan Karnival SimplySiti.
Perkara itu turut disahkan Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar pada sidang akhbar berkenaan.
Dr Sahol Hamid berkata UiTM sedang berbincang mengenai perkara itu dan sedia menerima Siti Nurhaliza yang berhasrat menyambung pengajiannya.
“Kita akan meneliti beberapa perkara dan menyambut baik hasrat Siti, lebih-lebih lagi kesediaannya membantu bersama-sama memungut dana untuk Tabung Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) UiTM yang ditubuhkan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian,” katanya.
Siti Nurhaliza, melalui SimplySiti Sdn Bhd, bekerjasama dengan UiTM sempena konsert Malam Gala bagi meraikan sambutan ulang tahun pertama syarikat milik penyanyi itu, yang diadakan di sini malam tadi.
Semua hasil jualan tiket konsert itu, yang dianggar berjumlah RM100,000 disalurkan kepada tabung MDAB UiTM, manakala SimplySiti turut menghulurkan RM30,000 selain sumbangan peribadi Siti Nurhaliza sebanyak RM10,000 kepada tabung berkenaan.
SimplySiti turut memperkenalkan dua koleksi terkini set kecantikan syarikat berkenaan iaitu SimplySiti Vogue Edition dan SimplySiti Lovely Edition, yang menampilkan produk baru seperti Gorgeous Lip Color, Shimmer Blush serta Due Eye Shadow.
Pada konsert berkenaan, Siti Nurhaliza menyampaikan lima lagu termasuk single terbaru album Inggerisnya, yang dijangka menemui peminat pada 9 Sept depan iaitu Falling In Love, selain berduet dengan penyanyi Aizat menerusi ‘Lagu Kita’.
Selain Siti Nurhaliza, kira-kira 4,500 penonton konsert itu turut terpaku dengan persembahan legenda rock tanah air Amy Search yang menyampaikan dua lagu iaitu ‘Kerja Gila’ dan ‘Isabella’.
Persembahan hampir empat jam itu turut diserikan dengan persembahan pelajar sekolah terpilih, penuntut UiTM, Aizat dan Ana Rafali serta diacarakan alumni UiTM Faizal Ismail.
Selain itu, Siti Nurhaliza turut menghadiahkan sebuah tas tangan koleksi peribadinya berjenama Prada kepada penonton bertuah menerusi cabutan khas.
Konsert berkenaan diuruskan sepenuhnya oleh empat fakulti UiTM iaitu Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik; Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media; Fakulti Muzik serta Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka. – BERNAMA
*bagusla kalau macam tue..ada niat dihati untuk kaya kan diri dengan ilmu pengetahuan..(sebenarnya diri sendiri pun masih excited nak sambung blaja,mood macam bulan september akan muakan kuliah seperti biasa)